Dakwaan fitnah Muhyiddin: Zahid tegaskan sedia disiasat, sifatkannya aduan politik

Ridauddin Daud
Mac 16, 2023 16:34 MYT
Ahmad Zahid berkata, belum berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis itu namun menegaskan ia adalah aduan politik semata-mata. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sedia disiasat susulan laporan polis dibuat Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris terhadapnya dan Perdana Menteri.
Menurutnya, beliau belum berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis itu namun menegaskan ia adalah aduan politik semata-mata.
“Ini adalah aduan politik… Masalah politik harus diselesaikan secara politik, aduan polis tak selesaikan masalah.
“Ertinya mereka tidak ada agenda lain, mereka mahu mempertahankan diri tapi tiada kemampuan.
“Jadi mereka buat laporan polislah. Jadi saya sebagai seorang yang sangat telus, sedia untuk disiasat pihak polis kerana kita yakin apa diadukan mereka itu, tidak ada asas.
“Asas yang ada dalam minda mereka sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Transformasi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara Syarikat Berkaitan Berajaan (GLC) dan syarikat swasta bersama kerajaan pada Khamis.
Razali membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Razali mendakwa, Anwar dan Ahmad Zahid serta sekutu mereka cuba menjatuhkan kepemimpinan PN dan Bersatu bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Dakwanya, antara tindakan diambil Pakatan Harapan (PH), termasuk membekukan akaun bank Bersatu selain mendakwa dan mengheret kepemimpinan parti berkenaan ke mahkamah.
#Zahid Hamidi #fitnah #Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #PN
;