Dakwaan enam kedai TNB berisiko jangkitan COVID-19 palsu
Bernama
Februari 28, 2020 17:42 MYT
Februari 28, 2020 17:42 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan bahawa enam buah Kedai Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tiga daerah di negeri ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi dalam penularan jangkitan COVID-19.
JKNJ menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya berkata perkara yang tular dalam laman sosial itu adalah tidak benar.
"Orang awam diminta tidak menyebarkan viral yang tidak sahih ini kerana akan mengakibatkan situasi panik dan mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," menurut kenyataan itu.
Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga denda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan.
Tular di laman sosial mendakwa enam Kedai TNB iaitu di Johor Bahru, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru, Johor Jaya, Pasir Gudang, Pontian serta Kulai dikategorikan sebagai berisiko tinggi jangkitan COVID-19.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Retail TNB Johor Datuk Baderul Sham Saad ketika dihubungi Bernama berkata pemeriksaan suhu ke atas orang awam di depan premis adalah sebagai langkah pencegahan awal, yang telah dimulakan sejak dua hari lepas.
-- BERNAMA
#Bahagian Retail TNB
#COVID-19
#Jabatan Kesihatan Negeri Johor
#JKNJ
#kesihatan
#SemakFakta
#Tenaga Nasional Berhad
#TNB