Dakwaan ejen Mossad: Ambil tindakan tegas, segera demi keselamatan negara

Ridauddin Daud
Oktober 19, 2022 17:55 MYT
Mohd Mizan berkata, rakyat atau ejen negara lain tidak seharusnya boleh sewenang-wenangnya masuk ke Malaysia dan melakukan jenayah di negara ini. -Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas dan segera dalam isu merekrut ejen Mossad di Malaysia kerana dikhuatiri menggugat keselamatan negara pada masa akan datang.
Pakar Kajian Strategik & Keselamatan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Professor Mohd Mizan Aslam berkata, rakyat atau ejen negara lain tidak seharusnya boleh sewenang-wenangnya masuk ke Malaysia dan melakukan jenayah di negara ini.
Tegasnya, sekiranya perkara itu terus berlaku, ia menunjukkan keselamatan negara agak rapuh dan mudah terdedah kepada ancaman sebegitu seperti mana kes melibatkan ejen Mossad dan rakyat Palestin. baru-baru ini.
BACA: Mossad rekrut warga Malaysia? Pemerhatian menyeluruh sedang dijalankan kerajaan - Hamzah
“Malaysia telah menjadi tumpuan dan kita faham, ramai diaspora Palestin di Malaysia terutamanya mereka dari Gaza kerana negara kita mempunyai hubungan mesra dengan Palestin dan kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel.
“Itu jadi kelebihan kepada rakyat Palestin dan itu juga beri rasa tidak selesa apabila Israel melihat bahawa Malaysia jadi pengkalan untuk melakukan operasi terhadap negara Israel.
“Ia termasuklah memberi latihan, pendidikan, ilmu kejuruteraan, ilmu aeronautik dan sebagainya,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI di sini, pada Rabu.
Isu Ejen Mossad | Polis panggil Pengarang NST bantu siasatan
Tambah Mohd Mizan, perkara yang lebih membimbangkan berkaitan ejen Mossad ialah apabila mereka berjaya merekrut ejen tempatan untuk melakukan kerja-kerja melibatkan negara mereka.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti satu dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang kononnya bertujuan menculik seorang warga Palestin seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada Selasa.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, pemerhatian sedang dilakukan secara menyeluruh dan jika perlu tangkapan akan dapat diambil serta-merta.
Tambah Hamzah, jika terdapat mana-mana warga asing yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya.
BACA: Culik warga Palestin: Polis siasat jika ada penglibatan agensi perisikan luar
Beberapa media sebelum itu melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.
Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dikatakan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.
Wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018, turut disyaki menjadi dalang rangkaian perisikan Israel di negara ini.
Ejen Perisikan | Mossad rekrut warga Malaysia?
#dakwaan ejen Mossad #culik warga Palestin #Kementerian Dalam Negeri #Hamzah Zainuddin
;