Dakwaan dua pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia akibat vaksin COVID-19 tidak benar
Abd Razak Mohd Ali
September 29, 2021 12:53 MYT
September 29, 2021 12:53 MYT
IPOH: Dakwaan kononnya dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, dekat sini meninggal dunia disebabkan vaksin COVID-19 disahkan tidak benar.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, maklumat yang tular itu juga cukup mengelirukan.
Menurutnya, memang ada dua pelajar sekolah berkenaan meninggal dunia tetapi bukan disebabkan oleh vaksin.
Katanya, pada 18 Julai lalu, seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif COVID-19.
“Pelajar itu memang dah sedia ada sakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik serta dua bulan kritikal di Hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, pada 17 September lalu, seorang pelajar lelaki pula meninggal dunia tetapi disebabkan sakit jantung.
Menurutnya, kedua-dua kejadian itu tiada kena mengena dengan vaksin kerana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Perak hanya bermula pada 20 September lalu.
Katanya, pihak polis juga akan menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu.
Terdahulu tular di media sosial sejak Selasa, satu video memaparkan seorang wanita mendakwa empat pelajar, termasuk dua pelajar di SMK Tasek Damai meninggal dunia selepas divaksin.
#Datuk Mior Faridalathrash Wahid
#pelajar sekolah didakwa mati vaksin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#SMK Tasek Damai