Dakwaan DoJ jadi jenaka di mata dunia - Fahariyah
Astro Awani
Jun 20, 2017 08:03 MYT
Jun 20, 2017 08:03 MYT
Reputasi Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat terus terjejas kerana dakwaan terbaharu mereka berkait isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu.
Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, dakwaan itu juga sekali gus menjadi bahan jenaka di persada dunia kerana ia juga tidak berasaskan sebarang fakta.
"Ini kerana Malaysia melalui Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) sudahpun menjalankan siasatan terperinci dan tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng 1MDB sepertimana didakwa DoJ.
"Kenyataan menghasut dari DoJ ini terus dikeluarkan tanpa sebarang asas dan bukti yang kukuh bagi mempengaruhi orang ramai khuusnya rakyat yang mudah mempercayai sesuatu tanpa diselidik terlebih dahulu.
"Kenyataan tanpa usul periksa ini juga sekali gus dijadikan modal untuk individu dan pihak tertentu demi kepentingan peribadi dan agenda tertentu untuk mencemarkan imej Malaysia dan pentadbiran negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Fahariyah merujuk kepada tindakan undang-undang terbaharu yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat untuk mendapatkan kembali aset-aset yang didakwa diseleweng dari 1MDB.
Dalam pada itu Fahariah turut percaya tindakan DoJ itu didorong atau dihasut pihak tertentu yang cemburu dengan keamanan dan kemakmuran dikecapi negara.
"Justeru saya mencabar DoJ untuk mendedahkan siapa sebenarnya penghasut atau pengadu yang mempunyai niat jahat menganggu-gugat pentadbiran negara.
"Malaysia tidak perlukan campur tangan asing termasuk DoJ dalam mengurus tadbir negara kerana kita sentiasa mengamalkan dasar menghormati prinsip dan perlembagaan mana-mana negara sepertimana dilaksanakan dan dipraktikkan ketika ini.
"Bagi saya ini adalah sikap terdesak pihak tertentu yang amat desperado bagi merosakkan imej kepimpinan negara," tegasnya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, pengumuman terbaharu DoJ Amerika Syarikat mengenai 1MDB tidak tertumpu kepada perkara utama iaitu mengenai jenayah yang didakwa dilakukan di bumi Amerika Syarikat.
Jelasnya sebahagian besar kenyataan DoJ pada 20 Julai dan Khamis lepas menyebut tentang apa yang berlaku secara dalaman di Malaysia dan sebahagian lebih besar tidak mempunyai kaitan dengan subjek sama ada jenayah telah dilakukan di bumi Amerika Syarikat seperti didakwa.