Dakwaan dera amah Indonesia, kerajaan jamin akan berlaku adil - Hamzah
Raja Hisyam Raja Zaid
September 3, 2022 18:12 MYT
September 3, 2022 18:12 MYT
SERDANG: Kerajaan memberi jaminan akan berlaku seadilnya dalam kes membabitkan seorang pembantu rumah (amah) Indonesia yang mendakwa didera oleh majikannya Selasa lalu.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, sesiapapun yang terlibat dengan kesalahan termasuk kes penderaan terhadap pembantu rumah akan diambil tindakan tanpa kompromi.
"Ya betul, siapa saja yang melakukan kesalahan kita akan ambil tindakan. Ini adalah satu perkara yang telahpun kita buktikan.
"Sesiapa sahaja akan kita ambil tindakan. Begitu juga mereka yang menjadi pembantu rumah, kedua-dua juga bertanggungjawab antara majikan dan mereka sendiri kerana supaya semua ini berlaku adil kepada semua pihak," katanya ketika ditanya Astro AWANI selepas hadir merasmikan Program Belia Prihatin Negara di sini hari ini.
Menurutnya lagi kedua-dua pihak iaitu majikan dan juga pembantu rumah juga telah menandatangani perjanjian bagi menjamin hak masing-masing.
Justeru katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan keadilan itu dinikmati oleh kedua-dua pihak.
Semalam Astro AWANI mendedahkan secara eksklusif satu kes yang membabitkan seorang amah wanita berusia 46 tahun yang bukan sahaja 'dikurung' dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam.
Dia juga mendakwa bekerja secara 'percuma', tanpa dibayar.
Mangsa turut mendakwa disimbah air panas sehingga melecur teruk di belakang badannya selain berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram akibat kekurangan zat.
Kes tersebut mendapat perhatian Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono semalam yang mahukan tindakan tegas diambil dan mengenakan hukuman mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007.