Dakwaan DAP cuba hidupkan semula ideologi komunis, Musa Hassan akan dipanggil - KPN
Shuhada Abdul Kadir
Februari 5, 2020 14:54 MYT
Februari 5, 2020 14:54 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa parti DAP mempunyai agenda untuk menghidupkan semula ideologi komunis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan berhubung isu berkenaan sedang berjalan susulan beberapa laporan yang telah diterima.
Beliau berkata, keperluan memanggil mana-mana individu yang disyaki terlibat adalah prosedur biasa bagi mengumpulkan bahan bukti sebelum melengkapkan kertas siasatan.
Katanya, pihak polis juga sedang melakukan analisa kandungan rakaman video yang didakwa disampaikan bekas Ketua Polis Negara itu sama ada terdapat unsur hasutan sehingga mengancam keamanan negara, atau sebaliknya.
“Jadi tanggungjawab yang dijayakan Bahagian Siasatan Jenayah Terkelas ini dia akan mengumpulkan itu dan dia akan ambil tindakan untuk memanggil siapa yang terlibat untuk ambil keterangan.
“Kita akan analisa kandungan video ceramah yang disampaikan, ada tidak unsur menghasut, polis ada terima beberapa laporan dan Bahagian Jenayah Terkelas Bukit Aman, CID sudah pun mengambil tindakan,” katanya dalam sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PIPN) Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh pada Rabu.
Terdahulu, tular sebuah klip video syarahan Musa dalam Sesi Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989 di sebuah universiti tempatan.
Beliau mendakwa DAP mempunyai agenda untuk menghidupkan semula ideologi komunis selain mengaitkan penglibatan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Untuk rekod, pada 1 Disember lalu kira-kira 300 individu menghadiri perjumpaan dan perhimpunan sebagai memperingati perjanjian dalam di antara PKM dan kerajaan Malaysia.
Ia mencetuskan kontroversi dengan ada pihak mendakwa ia merupakan usaha menghidupkan semula ideologi komunis di Malaysia.
Malaysia menandatangani perjanjian dalam dengan PKM di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989 yang membawa kepada persetujuan parti itu meletak senjata sekali gus menamatkan penentangan mereka kepada kerajaan.