Dakwaan 'DAP bawa masuk pengundi hantu' tuduhan yang sangat jahat - Guan Eng

Madiha Abdullah
Disember 8, 2019 14:35 MYT
Guan Eng sifatkan ia permainan sentimen perkauman yang bahaya dan tidak teragak-agak melaporkan kepada pihak berkuasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, meminta perwakilan UMNO Bukit Gelugor, Omar Faudzar, membuktikan dakwaan bahawa DAP membawa masuk sejumlah pengundi hantu dari China.
Dakwaan itu disifatkan Guan Eng sebagai permainan sentimen perkauman yang sangat bahaya dan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
"Mana ada kita buat kerja macam ini. Jadi dia kena tunjuk bukti. Sekiranya tiada bukti, kami harap tindakan boleh diambil," kata Guan Eng ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan, pada Ahad.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 sebelum ini mendedahkan 95 peratus pelancong dari China dan India memasuki Malaysia namun tiada rekod meninggalkan negara ini, dan Omar mendakwa mereka dibawa DAP untuk mengundi dalam pilihan raya umum.
Hal itu disebut Omar ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO, pada Sabtu.
Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut meluahkan rasa kesal apabila namanya kerap 'dijaja' pihak pembangkang untuk menampakkan seolah-olah wujudnya rancangan serangan terhadap ekonomi Melayu.
"Omar juga sebut kononnya saya nak lemahkan ekonomi Melayu dengan menjual GLC, sedangkan semua orang tahu GLC bukan di bawah saya. GLC di bawah Khazanah yang dipengerusikan Perdana Menteri.
"Jadi macam mana saya boleh terlibat pula? Tetapi itulah yang mereka sengaja lakukan, kaitkan nama saya untuk mainkan sentimen perkauman," kata Guan Eng sambil memaklumkan beberapa laporan polis sudah dibuat oleh perwakilan parti peringkat negeri.
Dalam pada itu, Guan Eng menafikan dakwaan DAP merupakan dalang membawa balik abu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
"Apa lagi yang baru? Di hujungnya, semua pun salah DAP. Malah saya dan Teresa Kok dituduh ada hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng, sedangkan nama keluarga kami pun tidak sama.
"Saya tak ada masa nak melayan fitnah jahat macam ini," tambahnya.
#DAP #ekonomi #GLC #Khazanah #Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan #Laporan Ketua Audit Negara #Lim Guan Eng #Omar Faudzar #pembangkang #pengundi hantu dari China #perwakilan UMNO Bukit Gelugor #pilihan raya umum #sentimen perkauman #UMNO
;