Dakwaan dadah dijual seperti pisang goreng di Sabah keterlaluan - Polis

Bernama
Julai 9, 2024 19:13 MYT
Jauteh berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk memaksimumkan tindakan ke atas mana-mana pihak dalam isu berkaitan dadah. - Bernama
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menyifatkan dakwaan dadah dijual seperti 'pisang goreng' di Sabah sebagai satu kenyataan yang keterlaluan dan bertentangan dengan usaha keras polis selama ini dalam membanteras kegiatan itu.
Beliau berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk memaksimumkan tindakan ke atas mana-mana pihak dalam isu berkaitan dadah.
"Dalam tempoh Januari hingga semalam, polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menangkap seramai 8,993 pesalah narkotik dan daripada jumlah itu 88 peratus telah dilakukan pertuduhan di mahkamah.
"Daripada jumlah keseluruhan tangkapan ini, jika kita lihat dari segi pecahan yang memiliki dadah (adalah) seramai 2,588 individu manakala positif (dadah) seramai 5,766 individu," katanya dalam sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata daripada jumlah tangkapan itu juga, seramai 20 individu diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Sepanjang tempoh yang sama juga, seramai 367 orang penagih dituduh mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Bukan itu sahaja, daripada jumlah tangkapan bagi tempoh yang sama, polis melakukan rampasan sebanyak 85 kilogram (kg) dadah," katanya.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata jika dilihat pecahan rampasan dadah, jenis syabu merupakan penyumbang utama dengan rampasan sebanyak 71 kg bagi tempoh sama.
Pada tahun ini juga katanya polis Sabah berjaya membuat tangkapan melibatkan dadah jenis baharu iaitu syabu cair dengan rampasan sebanyak 1.4 kg.
"Ini ertinya bahawa komitmen dan ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dalam memerangi isu berkaitan dadah adalah amat serius.
"Malah jika dibandingkan jumlah tangkapan tahun ini berbanding tahun lalu, tahun ini lebih ramai. Jadi kalau ada berita-berita mengatakan bahawa dadah ini dijual seperti 'goreng pisang' di Sabah adalah kenyataan yang keterlaluan," katanya.
-- BERNAMA
#Sabah #Dadah #pisang goreng #Jauteh Dikun
;