Dakwaan culas bayar bil: Pelanggan diminta hubungi restoran, selesaikan masalah

Sinar Harian
September 3, 2023 14:25 MYT
Rakaman CCTV restoran yang mendakwa pelanggan terbabit culas membayar harga makanan sepenuhnya, pada Jumaat. Dakwaan itu bagaimanapun disangkal seorang yang mendakwa pelanggan terlibat. -Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Pihak restoran makanan laut yang mendakwa pelanggan tidak membayar penuh makanan dipesan pada Ahad lalu meminta supaya pelanggan tersebut menghubungi pihaknya bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook, pihak restoran terbabit sekali lagi tampil bagi menjelaskan situasi yang berlaku ketika itu dengan pelanggan tersebut.
"Pelanggan telah makan dan mengambil lobster king, sotong goreng, ketam A (dua set dan dua masakan), ikan kerapu Taiseng, nasi putih, jus tembikai, kelapa dan teh tarik dengan jumlah bil RM1,102.20 dan membayar cuma RM400 yang berbaki RM702.20.
"Untuk makluman, video yang tersebar adalah rundingan yang belum ada kata sepakat daripada kedua belah pihak.
"Untuk pelanggan tersebut, diminta menghubungi pihak restoran dengan kadar segera untuk menyelesaikan permasalahan ini," kata hantaran itu.
Pihak restoran juga memaklumkan bahawa mereka telah dikunjungi oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan mendakwa tiada yang mencurigakan daripada premis mereka.
"Pada hari ini (Sabtu), 2 September 2023, pihak kami telah didatangi oleh pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan semuanya telah selesai.
"Tiada masalah dan apa-apa yang mencurigakan. Pihak kami telah membuat laporan polis.
"Apa-apa masalah yang berlaku selepas ini akan menjadi tugas pihak polis. Mohon kerjasama daripada semua pihak untuk tidak lagi mengeruhkan keadaan," katanya.
Pihak restoran turut menyatakan bahawa ia adalah hantaran terakhir mengenai isu itu.
"Segala komen akan kami serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sebelum itu, menerusi hantaran daripada pihak pelanggan pada malam Jumaat turut berterima kasih kepada warganet yang membantu menyebarkan penjelasannya mengenai perkara itu.
"Terima kasih semua sahabat-sahabat Facebook yang memahami situasi dan yang menolong sebarkan benda yang sahih.
"Semoga Allah membalas jasa baik kamu smua dan ini menjadi pengajaran untuk kita semua lebih berhati-hati," katanya.
Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad mengesahkan bahawa pegawainya telah pun membuat pemeriksaan terhadap restoran terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan pihak KPDN.
"Jika sudah selesai akan kami kongsikan," katanya ringkas.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan sebuah restoran makanan laut di sini mendakwa pelanggan terdiri daripada sebuah keluarga bertindak meninggalkan premis selepas enggan membayar bil penuh.
Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh pelanggan terbabit yang mendakwa bahawa mereka tidak menyangka harga yang dikenakan terlalu mahal untuk tiga ahli keluarga yang makan di restoran tersebut. -Sinar Harian
#Dakwaan culas bayar bil #restoran makanan laut #harga mahal #bayar kurang separuh
;