Dakwaan cubaan culik: Polis ronda kawasan sekolah
Sinar Harian
September 23, 2022 07:45 MYT
September 23, 2022 07:45 MYT
TANAH MERAH: Polis Kelantan mengadakan rondaan di seluruh kawasan sekolah di negeri ini susulan tular dakwaan cubaan culik dua murid di Gua Musang pada Isnin dan Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rondaan dilakukan pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bermula pada Khamis.
“Bagus kerana ada ibu bapa yang peka terhadap keselamatan anak masing-masing dan polis bertindak melakukan pemantauan di semua sekolah.
“Pasukan URB akan melakukan rondaan kerap terutama pada waktu puncak seperti semasa tamat sesi persekolahan harian,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat dan penyampaian sumbangan kepada asnaf di Masjid As-Syakirin di Kelewek di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, polis juga meminta kerjasama daripada pihak sekolah dan pengawal keselamatan sekolah untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat individu mencurigakan di kawasan luar sekolah.
“Kita tidak tahu seseorang itu hendak melakukan culik atau tidak tetapi penting untuk kita mengutamakan dan menjaga keselamatan anak-anak kita.
“Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya mengambil anak-anak pulang dari sekolah pada waktu yang sepatutnya,” katanya.
Dalam kejadian pertama pada jam 5 petang Isnin lalu, seorang murid Tahun Empat mendakwa dipanggil dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil berwarna putih di luar kawasan sekolah.
Kejadian kedua melibatkan seorang murid Tahun Satu juga dipanggil oleh dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu di luar kawasan sekolah pada jam sama hari Selasa.
Kedua-dua murid itu bagaimanapun tidak menghiraukan lelaki-lelaki yang tidak dikenali tersebut. - Sinar Harian