Dakwaan cabul: Anwar, beberapa saksi lain akan dipanggil - Polis

Hakim Rahman
Disember 11, 2019 00:37 MYT
Muhammad Yusoff dakwa dicabul Anwar pada 2 Okt tahun lepas. -Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa saksi lain untuk memberi keterangan berhubung dakwaan seorang lelaki yang mengaku dirinya dicabul presiden PKR itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka akan dipanggil setelah mendapat tarikh yang sesuai.
"Percakapan Anwar Ibrahim serta beberapa saksi lain yang berkaitan akan diambil setelah mendapat tarikh janji temu yang sesuai.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan,” katanya dalam kenyataan pada awal pagi ini.
Beliau berkata pihaknya telah merakam keterangan Muhammed Yusoff Rawther pada Isnin dan mengambil akuan bersumpah yang dibuat olehnya.
Pada Selasa, Muhammed Yusoff hadir semula ke Bukit Aman buat kali kedua untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
BACA: Yusoff Rawther beri keterangan lebih tujuh jam di Bukit Aman
BACA: Dakwaan mencabul: Anwar nafi, sifatkan niat jatuhkan imejnya
Muhammed Yusoff sebelum ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya menyiasat dakwaannya.
Dalam laporan sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan akan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.
Bekas pegawai penyelidik itu membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar pada 2 Okt tahun lepas.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan presiden PKR yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan.
#Anwar Ibrahim #Bukit Aman #cabul #Huzir Mohamed #muhammed yusoff rawther #Pejabat Peguam Negara #Seksyen 354 Kanun Keseksaan