Dakwaan buli: Sekolah dikenal pasti, tunggu siasatan lanjut - Polis Perak

Abd Razak Mohd Ali
Disember 10, 2021 15:11 MYT
Menurut Mior, siasatan sedang dijalankan dan beliau akan membuat kenyataan media dalam masa terdekat. - Gambar fail
KAMPAR: Polis Perak sedang mengenal pasti pelajar-pelajar yang terlibat di dalam kejadian buli yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis juga telah mengenal pasti sekolah yang berkenaan.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dan beliau akan membuat kenyataan media dalam masa terdekat.
"Saya telah mengarahkan KPD Kuala Kangsar untuk menjalankan siasatan bila kejadian ini berlaku, kadang-kadang kejadian ni berlaku lama diviralkan semula tetapi saya tidak dapat bagi pengesahan dulu, biar kita siasat dan bila kita dah menjalankan siasatan, saya akan bagi, saya akan kongsi maklumat dengan media," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kampar dan Pengerusi PERKEP Daerah Kampar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar pada Jumaat.
[TERKINI] Polis siasat kes buli di asrama
Menurutnya, berdasarkan komen, ada yang mengatakan kejadian itu berlaku di Kuala Kangsar, tetapi polis akan menjalankan siasatan lanjut.
Berdasarkan video yang tular, kelihatan sekumpulan pelajar sedang mengepung seorang pelajar lain dan menumpuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka.
Video berdurasi 10 saat itu telah menimbulkan kemarahan netizen dengan pelbagai komen.
#buli #Kuala Kangsar #Mior Faridalathrash Wahid #video viral
;