Dakwaan bayi dirampas: KKM buat siasatan - Dr Zaliha
Hasimi Muhamad
September 19, 2023 13:24 MYT
September 19, 2023 13:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat penelitian berhubung dakwaan berlaku kes 'merampas bayi' di sebuah hospital kerajaan di Sabah, baru-baru ini.
Menurut Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan, sama ada awam mahupun swasta.
"Saya bersetuju, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku di hospital khususnya hospital kerajaan. Bagi saya, pendekatan 'No Wrong Door Policy' yang kita laksanakan, perlu kita laksanakan baik-baik.
"Saya setuju untuk perkara ini, kita perlu buat penelitian dan perlu juga laporan polis yang sedang dilaksanakan itu, kita lihat macam mana keputusannya.
"Buat sementara waktu, saya akan buat penambahbaikan dan perlu bertemu dan bersemuka dengan petugas-petugas kita di hospital tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut dan melakukan penambahbaikan.
"Perlu ada empati apabila kita melaksanakan tugas-tugas kita yang berkaitan penyampaian kesihatan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab celahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) ketika penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Dr Kelvin bangkit meminta pandangan kementerian berhubung isu berkenaan susulan laporan bahawa bayi telah dirampas daripada ibunya kerana dakwaan tidak memiliki dokumen.
Jelas beliau, KKM perlu melakukan siasatan yang lebih telus walaupun pihak hospital telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan kononnya berlaku kes ‘merampas bayi’ di hospital di negeri ini seperti dilaporkan dalam sebuah portal media.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Asits Sanna berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan segera susulan laporan portal itu bertajuk "Baby snatching: How stateless mums lose their infants in Sabah hospital”.
Beliau berkata, pihak JKN Sabah mendapati dakwaan itu tidak benar dan tidak berlaku di mana-mana hospital KKM di Sabah.