Dakwaan banduan lari dari penjara palsu
Sinar Harian
Julai 28, 2022 06:00 MYT
Julai 28, 2022 06:00 MYT
MELAKA: Dakwaan bahawa 30 banduan berjaya melarikan diri dari penjara Sungai Udang yang tular di aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, Penguasa Penjara, Superintendan Mohd Saizi Ibrahim telah mengesahkan perkara itu dan ia tidak dilaporkan berlaku.
"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita palsu itu bagi menggelak kegusaran masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, anggota Penjara Sungai Udang akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tular yang mengatakan 30 banduan mereka berjaya melarikan diri.
Beberapa jam lalu tular di aplikasi WhatsApp tentang kejadian itu yang turut dikaitkan dengan operasi bersepadu sekatan jalan raya (SJR) di Hutan Simpan Sungai Udang.
Tambah beliau, SJR bermula hari Khamis itu merupakan operasi bersepadu menerusi Ops Tapis membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). - Sinar Harian