Dakwaan Bahasa Inggeris PT3 diulang semula tidak benar
Bernama
Oktober 1, 2019 19:52 MYT
Oktober 1, 2019 19:52 MYT
Dakwaan peperiksaan Bahasa Inggeris Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan diulang semula pada 10 Oktober ini adalah tidak benar, demikian menurut Kementerian Pendidikan.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat berkenaan kerana ia akan mendatangkan kerisauan kepada ibu bapa dan turut memberi tekanan kepada calon yang sedang menduduki peperiksaan PT3.
Kementerian Pendidikan turut menegaskan, berita yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai kebocoran soalan kertas Bahasa Inggeris PT3 adalah palsu.
Sebelum ini, tersebar di aplikasi WhatsApp memaklumkan bahawa ujian Bahasa Inggeris PT3 bakal diulangi pada 10 Oktober ini akibat soalan bocor oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Lebih 400,000 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan PT3 hari ini bermula dengan kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2. - BERNAMA