Dakwaan Anwar negara bankrap satu pembohongan besar
Bernama
Januari 22, 2013 21:22 MYT
Januari 22, 2013 21:22 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan ditadbir Barisan Nasional (BN) sudah bankrap, merupakan satu pembohongan besar.
Beliau berkata negara mempunyai dana dan sumber, malahan diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa sebagai model contoh dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
"Sama ada beliau (Anwar) tidak mengetahui bagaimana analisis dilakukan oleh badan-badan antarabangsa atau sengaja menolak hakikat sebenar (berhubung ekonomi negara)," katanya yang menyangkal dakwaan Anwar itu yang dipaparkan di laman sosial YouTube.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Melaka di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini Selasa yang dihadiri kira-kira 10,000 orang termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Muhyiddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah mengumumkan pungutan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) pada tahun lepas mencatat kutipan terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM125 bilion.
"Kita bukan berada dalam situasi (seperti) beberapa negara Eropah seperti Greece dan Portugal yang tidak mempunyai dana dan ongkos dalam mengurus ekonomi mereka sehingga menanggung beban hutang," katanya.
Muhyiddin berkata negara baru-baru ini turut menerima pengiktirafan oleh Laporan Bank Dunia yang menyebut negara menduduki tangga ke-12 bagi menjalankan perniagaan, naik enam anak tangga daripada tempat ke-18 sebelumnya.
"Malahan kita mengatasi negara-negara maju seperti Sweden (tangga ke-13), Taiwan (16) dan Jerman (20) menurut laporan itu," katanya.
Mengenai penjawat awam, Muhyiddin berkata cabaran yang dihadapi termasuk dalam membantu negara untuk kekal bersaing dalam ekonomi dan perniagaan sebagai negara pengekspot.
"Kita ada tugas dan misi baik di peringkat persekutuan, negeri dan daerah dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan membantu sektor awam dan swasta," katanya.
Beliau berkata usaha yang dilakukan hari ini secara gigih akan membawa kesan kepada negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.