Dakwaan anggota tentera terbunuh hanya taktik musuh - Panglima Tentera Darat

Haider Yutim
Ogos 12, 2013 21:06 MYT
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor hari ini berkata laporan media Filipina yang kononnya lapan anggota keselamatan negara terkorban dalam pertempuran dengan pengganas hanyalah taktik mereka untuk melihat reaksi Malaysia.
“Atas pelbagai sebab saya tidak nampak alasan lain melainkan ia hanyalah (taktik) mereka untuk membaling sesuatu pada kita untuk melihat sama ada kita sambut atau tidak,” kata beliau dalam sidang media di Kementerian Pertahanan pada Isnin.
Tambahnya, jika insiden itu betul-betul berlaku sudah tentu pihaknya tidak akan berada di situ (Kementerian Pertahanan) untuk sidang media kerana akan sibuk menyertai anggota keselamatan bagi membanteras pencerobohan tersebut.
“Kalau ada benda tu sekarang saya tidak rasa kita akan ada di sini… kita akan berada di bilik operasi bagi mencari penyelesaian seterusnya,” jelas Raja Mohamed Affandi.
Beliau juga meminta pelbagai pihak supaya jangan melakukan atau menambahkan spekulasi tentang isu ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek, telah menafikan laporan tersebut serta menyifatkannya sebagai propaganda bertujuan mencetuskan perasaan takut penduduk Sabah khususnya di pantai timur.
Media Filipina, Manila Times dipetik sebagai berkata kesemua lapan anggota tentera Malaysia itu terbunuh selepas diserang hendap oleh sekurang-kurangnya 50 anggota pengganas Kiram yang diketuai Utuh Ubie.
Maklumat itu dipetik daripada kenyataan jurucakap Jamalul Kiram III, Abraham Idjirani pada Ahad.
Idjirani dilaporkan sebagai berkata, serang hendap itu dilakukan selepas tertekan dengan kehadiran pasukan keselamatan Malaysia yang jumlahnya jauh lebih ramai.
Sebelum kejadian itu, Idjirani mendakwa, seorang saudara Raja Muda Agbimuddin Kiram, yang kini tinggal di Lahad Datu memaklumkan, pasukan keselamatan Malaysia akan melancarkan serangan ke atas saki baki pengganas di Lahad Datu.
Sebelum ini, seramai 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dan 68 anggota pengganas terbunuh dalam beberapa pertempuran di Lahad Datu.
#Filipina #jeneral datuk raja mohamed affandi #td #TDM #tembakan #tentera darat
;