Dakwaan amang seksual, pelajar Tingkat Lima ditahan

Umavathi Ramayah
Ogos 10, 2024 04:31 MYT
Remaja lelaki itu ditahan selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 16 tahun pada 25 Julai lalu. - Gambar hiasan/Adobe Stock
AMPANG JAYA: Seorang pelajar Tingkatan Lima ditahan pada Jumaat selepas dipercayai melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah sama di Hulu Kelang, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, remaja lelaki itu ditahan selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 16 tahun pada 30 Julai lalu.
"Polis mendapat perintah tahanan reman selama lima hari bermula Sabtu ke atas pelajar berusia 17 tahun," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mohd Azam memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang 25 Julai lalu, mangsa mendakwa dibawa ke rumah suspek di Jalan AU3/1 Taman Keramat sebelum melakukan amang seksual secara fizikal.
Ketika kejadian katanya, kedua ibu bapa suspek tidak berada di rumah.
"Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada guru disiplin dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis," ujarnya.
Kes itu kata beliau disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
#amang seksual #pelajar ditahan #seksual kanak-kanak #perintah reman