Dakwa Veveonah menipu, Zahidi sudah minta maaf - Saifuddin
Saraya Mia
September 4, 2020 13:50 MYT
September 4, 2020 13:50 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah menganggap kenyataan Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung Veveonah Mosibin adalah satu kesilapan.
Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, Zahidi sudah pun mengaku kesilapan itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Pertama sekali Timbalan Menteri telah segera mengaku kesilapan dan memohon maaf khususnya kepada adik Veve, dan saya juga membaca respons daripada adik Veveonah selepas YB Timbalan Menteri membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Beliau (Zahidi) juga kata akan membetulkan jawapan sebab jawapan itu telah tercatat (dalam Hansard Dewan Negara),” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Tanjak Merdeka di Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini hari ini.
Semalam, Zahidi, yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan pelajar dari Sabah dalam satu klip video YouTube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.
Namun, beliau kemudiannya memuat naik catatan di Facebook peribadinya mengakui bahawa dakwaan itu adalah kesilapan ekoran maklumat tidak tepat yang diterimanya sewaktu menjawab soalan tambahan pada sesi Dewan Negara itu.
“Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin, dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara pada Isnin nanti.
“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam bidang yang diceburi,” katanya dalam catatan itu.
Kenyataan beliau dalam Dewan Negara menerima kecaman hebat kerana fakta menunjukkan Veveonah memang mengambil peperiksaan pada hari yang dinyatakan.
Anak kelahiran Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah itu dalam kenyataan balasnya berkata, dia amat sedih dan kecewa dengan tohmahan itu.
"Ia menyakitkan. Saya tetap memaafkan semua kesalahan orang lain terhadap saya tapi saya perlu membuat kenyataan yang adil mengenai diri saya.” katanya lagi.
#Dewan Negara
#Merdeka
#Parlimen
#pelajar
#Putrajaya
#Saifuddin Abdullah
#Tanjak Merdeka
#Tree Girl
#Veveonah
#Veveonah Mosibin
#YouTube
#Zahidi Zainul Abidin