Dakwa Veveonah menipu: Pemimpin kerajaan tidak boleh kelihatan sombong - ILHAM Centre

Fareez Azman
September 4, 2020 17:19 MYT
Zahidi mengakui dakwaan terhadap Veveonah itu adalah kesilapan ekoran maklumat tidak tepat yang diterimanya. Gambar/ FB@Veveonah M.
Pemimpin kerajaan Pakatan Nasional (PN) perlu berhati hati mengeluarkan kenyataan agar tidak memberi persepsi kurang baik terhadap kerajaan seperti yang berlaku dalam kes dakwaan terhadap Veveonah Mosibin.
Felo Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, berkata sebarang kenyataan dan tindakan pemimpin yang mencetuskan cemuhan serta kritikan rakyat akan memberi impak kepada imej kerajaan.
"Pemimpin harus dilihat tidak menongkah arus rakyat, mereka tidak seharusnya dilihat sombong di mata rakyat.
"Hari ini kita lihat (segelintir) mereka tidak hadir selari dengan kehendak rakyat. Ini yang kita lihat berlaku kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
"Mereka (PH) dilabelkan sebagai tidak mendengar keluh kesah rakyat. Ini juga yang mula kelihatan dalam konteks kerajaan PN.
"Jadi pemimpin kerajaan PN seharusnya berhati- hati supaya tidak mengulangi kesilapan sama yang dilakukan (PH)," katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan pelajar dari Sabah dalam YouTube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.
Namun, beliau kemudiannya memuat naik catatan di Facebook peribadinya mengakui bahawa dakwaan terhadap Veveonah itu adalah kesilapan ekoran maklumat tidak tepat yang diterimanya sewaktu menjawab soalan tambahan pada sesi Dewan Negara.
BACA: Timbalan menteri minta maaf dakwa Veveonah palsukan kisah duduki peperiksaan atas pokok
BACA: "Sejujurnya saya sangat sedih dan kecewa" - Veveonah
BACA: Dakwa Veveonah menipu, Zahidi sudah minta maaf - Saifuddin
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, kajian ILHAM Centre pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Ogos lalu, mendapati sokongan rakyat terhadap PN adalah tinggi.
"Bagaimanapun, prestasi itu boleh diganggu dengan sebarang tindakan yang tidak sensitif kepada isu rakyat," katanya.
#Dewan Negara #ILHAM Centre #Internet #Kajian #Kenyataan #Pakatan Harapan #pelajar #pemimpin #rakyat #Timbalan Menteri #UMS #Veveonah Mosibin
;