Dakwa UiTM amal 'aparteid': Pemuda UMNO gerakkan ahli lapor polis terhadap Andrew Sia
Sinar Harian
Mei 24, 2024 07:20 MYT
Mei 24, 2024 07:20 MYT
SHAH ALAM: Pemuda UMNO membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dibuat terhadap kolumnis, Andrew Sia susulan dakwaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengamalkan sistem 'apartheid'.
Malah ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, ahli parti itu di seluruh negara juga akan digerakkan untuk membuat laporan sama supaya tindakan dapat diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948.
"Alhamdulilah, laporan polis terhadap penulis Andrew Sia telah dilakukan oleh Pemuda UMNO dan mahasiswa kita tadi.
"Insya-ALLAH malam ini akan ada lagi dari Pemuda UMNO seluruh Malaysia (buat laporan polis).
"Jangan sesekali bermain dengan api, jumpa anda di mahkamah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, Pemuda UMNO mendesak Andrew membuat permohonan maaf terhadap kelantangan penulisannya yang menggelar UiTM sebagai sebuah ‘Akademi Aparteid’.
Penulisan kolumnis itu mendapat kecaman pelbagai pihak selain disifatkan berunsur hasutan selain boleh dikategorikan menyentuh isu 3R. - Sinar Harian