Dakwa serangan seksual, polis minta pemilik akaun Twitter tampil buat laporan
Afiezy Azaman
November 13, 2021 11:04 MYT
November 13, 2021 11:04 MYT
KUALA LUMPUR: Polis meminta agar pemilik akaun laman media sosial Twitter, Lord Pretty @Qhaishaaantsha tampil membuat laporan berhubung dakwaannya diganggu anggota polis yang menaiki kereta peronda, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.
"Gambar kereta jenis Honda Civic yang ditularkan disahkan milik kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.
"Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti didakwa. IPD Petaling Jaya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu membabitkan pelanggaran undang-undang melibatkan anggota PDRM," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, masyarakat diseru untuk tampil membuat aduan ke balai polis berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan pelanggaran undang-undang melibatkan anggota polis.
Terdahulu tular di Twitter ciapan pemilik akaun bernama @qhaishaaantsha yang memuatnaik gambar kereta peronda polis mendakwa anggota polis di dalam kenderaan tersebut melakukan gangguan seksual terhadapnya.