Dakwa seleweng dana: Shamsul Iskandar buat laporan polis terhadap Chegubard

Astro Awani
Januari 5, 2024 22:31 MYT
Shamsul Iskandar menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai fitnah serta usaha mendapatkan publisiti murahan. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan membuat laporan polis terhadap ahli Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Laporan itu adalah susulan dakwaan yang dibuat Chegubard berhubung penyelewengan dana badan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan namanya, di akaun Facebook.
Shamsul Iskandar menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai fitnah serta usaha mendapatkan publisiti murahan.
Jelas Shamsul Iskandar, segala prosedur pemberian sumbangan kepada mana-mana pihak termasuk NGO perlu melalui tatacara yang telah ditetapkan oleh unit penyelarasan pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
"Saya akan membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya, esok 6/1/2024, Sabtu jam 8.30 pagi.
"Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk meneliti perkara ini dan memberikan saya nasihat akan tindakan perundangan yang selanjutnya," tulisnya dalam kemas kini di Facebook.
Terdahulu, Chegubard memuat naik kemas kini di Facebook dengan mendakwa sudah mempunyai bukti yang cukup berhubung penyelewengan dana oleh Shamsul Iskandar dan akan mendedahkan semuanya, Isnin depan.
#Shamsul Iskandar Mohd Akin #Chegubard #dana #seleweng #NGO
;