Dakwa imej tercemar, Vigneswaran mahu saman Anthony Loke
Diyana Ibrahim
November 19, 2018 16:33 MYT
November 19, 2018 16:33 MYT
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran akan memfailkan saman terhadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook susulan dakwaan melanggar protokol keselamatan ketika masuk di bilik VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.
Vigneswaran yang juga Presiden MIC berkata saman yang akan difailkan itu dibuat bukan atas kapasiti Anthony sebagai menteri.
"Saya saman dia sebagai individu atas sebab penyebaran video tersebut yang melanggar hak peribadi (data breach) dan melangkaui kuasa menteri," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, tindakan Anthony yang membuat sidang media dan menunjukkan video tersebut secara terbuka telah mencemar imejnya.
Lebih memburukkan keadaan, dakwa Vigneswaran, ahli keluarganya turut menerima tempias daripada perbuatan menteri tersebut.
"Saya ada reputasi sebagai Speaker, saya fikir tindakannya mencemar imej saya. Dan dengan penyebaran video, menyebabkan keluarga saya dikritik di media sosial.
"Dengan kata-kata kesat, kalau cuma saya tidak apa, tapi ini dengan isteri dan anak. Sebagai bapa, saya terpaksa ambil tindakan," kata Vigneswaran.
Minggu lepas, Anthony dalam satu sidang media mendedahkan rakaman klip video menunjukkan Presiden MIC itu yang tiba di bilik VIP KLIA dengan memakai selipar.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup CCTV yang dikeluarkan pihak berkuasa, Vigneswaran dihalang oleh kakitangan keselamatan di bilikVIP itu.
Namun, Loke mendakwa Vigneswaran telah menengking kakitangan terbabit dan terus masuk menuju ke bahagian lobi VIP.
Vigneswaran dalam pada itu juga menegaskan tidak akan meminta maaf sepertimana diminta Anthony.
"Nak saya minta maaf kepada siapa? Kepada Tuhan?" soalnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor hari ini mengesahkan kes berkenaan sedang disiasat mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
#Anthony Loke
#bilik VIP
#CCTV
#Dewan Negara
#KLIA
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
#media sosial
#Presiden MIC
#Vigneswaran