Dakwa hantar video lucah: Wanita peras ugut lelaki didakwa SPRM

Astro Awani
Februari 12, 2018 15:50 MYT
Tertuduh, Noraniza Jelani, 30 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz. - Gambar fail
Seorang wanita yang juga pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tiga pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki tiga tahun lalu.
Tertuduh, Noraniza Jelani, 30 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara bersama dengan bekas suaminya, 28 tahun telah memeras ugut seorang lelaki untuk mendapatkan wang dengan menuduh mangsa menghantar video lucah kepadanya.
Tertuduh bagaimanapun minta dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Ahmad Ghazali Mohamad Nazri .
Ahmad Ghazali kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah tanpa bekas suaminya itu tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan dia menyara ibu bapanya.
Hakim Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 9 Mac depan ditetapkan untuk sebutan semula.
#lelaki #mahkamah #Mahkamah Sesyen #Malaysia #mangsa #Rasuah #SPRM #video #wanita
;