Dakwa guru, sekolah terap budaya ekstremis, keganasan tuduhan berat - Dewan Pemuda Pas

Afiezy Azaman
Oktober 30, 2023 12:15 MYT
Hafez Sabri berkata inisiatif tersebut merupakan satu langkah pendidikan untuk anak-anak sedar dan memahami isu besar yang sedang melanda umat ketika ini. - Foto Facebook/Pemuda Pas Malaysia
KUALA LUMPUR: Tindakan mendakwa guru dan pihak sekolah menerapkan budaya ekstremis dan keganasan apabila mengetengahkan keadaan semasa di Palestin merupakan satu tuduhan berat.
Dewan Pemuda Pas melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang didakwa mengecam guru dan murid berhubung isu pemakaian sempena Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas, Hafez Sabri, inisiatif tersebut merupakan satu langkah pendidikan untuk anak-anak sedar dan memahami isu besar yang sedang melanda umat ketika ini.
"Tidak cukup dengan pertikaian, Kor Ming telah mengugut pihak berkaitan yang dikatakan menyalahguna kuasa untuk diambil tindakan kerana anak murid dan guru ini memakai kostum ‘perang’ dengan laungan kalimah yang membangkit semangat melawan musuh kejam seperti Zionis.
"Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya wujud kerana seharusnya pemimpin DAP maklum tentang pendirian kerajaan Malaysia yang bersama rakyat Palestin dan menentang keganasan Zionis Israel.
"Cukuplah dengan kekesalan apabila usul mengecam kekejaman Zionis ini tidak dibahaskan di dalam Parlimen, kini anak murid dan guru pula dikecam dan diugut untuk diambil tindakan hanya kerana ‘membahaskan’ tentang kebenaran perjuangan Palestin," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Pada 28 Oktober lalu, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memuat naik hantaran di media sosial meminta tindakan dikenakan kepada pihak yang membenarkan pemakaian murid dalam program solidariti bersama Palestin memegang senjata mainan.
Sebelum ini, tular gambar murid dalam program solidariti bersama Palestin memegang senjata mainan menyebabkan ada pihak meminta program KPM itu dikaji semula.
DAP pula dilaporkan menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap penganjur yang mempamerkan unsur kekerasan dan bersenjata di sekolah yang dikatakan terbabit dalam Minggu Solidariti Palestin.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fahdlina Sidek berkata siasatan masih dilakukan dan program berkenaan bukan dalam minggu Salodariti Palestin.
KPM melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar.
#minggu solidariti palestin #budaya ekstremis #PAS #Nga Kor Ming
;