Dakwa bunuh, nasib dua beradik, tiga rakan diketahui 22 Mac
Abd Razak Mohd Ali
Februari 16, 2023 12:56 MYT
Februari 16, 2023 12:56 MYT
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 Mac hadapan sebagai tarikh keputusan kes dua beradik dan tiga rakan mereka yang didakwa membunuh seorang lelaki, lima tahun lalu.
Tarikh tersebut ditetapkan Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo pada prosiding di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Beliau membuat keputusan itu selepas peguam kesemua tertuduh, Charan Singh memohon agar keputusan penghakiman ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.
Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas menimbangkan ia melibatkan pertuduhan yang serius.
Mengikut pertuduhan, C. Sathis, 29 dan adiknya C. Kartik Krishnan, 24, bersama-sama J. Jaya Ganesh, 25; A. Arjun, 26 dan V. Sivabalan, 24 didakwa dengan niat bersama telah membunuh seorang lelaki, Chung Thian Keong, 54.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, antara jam 7 petang 17 Mei 2018 hingga 7 pagi 18 Mei 2018.
Mereka didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said.