Daish: Polis Selangor kerjasama dengan IPT

Bernama
Ogos 30, 2016 11:30 MYT
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata terdapat sebilangan kecil mahasiswa mempunyai kecenderungan menyokong ideologi Daish. - Gambar fail
Polis Selangor bekerjasama rapat dengan pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri itu termasuk Universiti Awam (UA) dalam usaha menangani penularan pengaruh militan Daish dalam kalangan penuntutnya.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, pihaknya memandang serius serta peka terhadap pengaruh ideologi Daish ke atas penuntut IPT dan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya dalam memberi kesedaran mengenai bahaya ancaman kumpulan militan itu.
"Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman bukan sahaja mengawal dan ambil tindakan, malah memberi kesedaran kepada penuntut IPT bahawa ancaman pengganas seperti Daish benar dan terbukti.
"Ini dibuktikan melalui pengamatan, intipan dan penguatkuasaan melalui tangkapan yang menunjukkan kecenderungan kepada dakyah kumpulan militan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata terdapat sebilangan kecil mahasiswa mempunyai kecenderungan menyokong ideologi Daish.
Ditanya sama ada terdapat kes penuntut IPT di Selangor yang terpengaruh dengan dakyah kumpulan militan itu, Mohd Fuad menjawab: "Memang ada kes di Selangor tetapi biar kita jalankan siasatan terlebih dahulu."
#daish #Datuk Mohd Fuad Abd Latiff #Institusi Pengajian Tinggi #Polis Selangor #universiti awam