Daish: Malaysia, Indonesia, Filipina bermesyuarat di Bali minggu depan

Rahimah Abdullah
Julai 22, 2016 20:36 MYT
Jelas Datuk Seri Hishammuddin, ketiga-tiga negara akan diwakili Menteri Pertahanan masing-masing.
Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bermesyuarat di Bali minggu depan bagi menjalinkan kerjasama dalam menangani ancaman Daish, ujar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Jelas Datuk Seri Hishammuddin, ketiga-tiga negara akan diwakili Menteri Pertahanan masing-masing.
"Minggu depan, ada satu perjumpaan antara Menteri-Menteri Pertahanan iaitu saya, Indonesia, dan Menteri Pertahanan baharu Filipina untuk memastikan sekurang-kurangnya di Selat Sulu ini tiga negara membuat pendirian yang jelas menentang Daish," katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di sini, hari ini.
Ketika ini terdapat dua kerjasama yang melibatkan tiga negara ini iaitu menerusi pakatan diketuai Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
"Kehadiran kita di dua gabungan negara bersekutu tidak terkecuali. Cuma kita tidak terlibat secara langsung bagi mengelak risiko kepada anggota kita, tetapi sokongan dan kehadiran kita tetap diteruskan.
Tambahnya, Malaysia dua hari lepas dijemput ke Washington untuk berbincang dengan menteri-menteri pertahanan lain dalam gabungan dengan Amerika Syarikat.
"Masa tidak mengizinkan kita ketika itu, namun maknanya peranan Malaysia juga diiktiraf dalam memerangi Daish," ujarnya.
#ancaman #daish #Filipina #Hishammuddin Hussein #Indonesia #keselamatan negara #mesyuarat
;