Daish: Ketatkan pengeluaran visa di negara berisiko - Musa Hassan
Wan Syamsul Amly
Julai 10, 2016 22:11 MYT
Julai 10, 2016 22:11 MYT
Kerajaan perlu mengetatkan pengeluaran visa warga asing bukan sahaja kepada rakyat dari negara Timur Tengah malah negara-negara berisiko lain bagi mengekang ancaman kumpulan militan Daish di Malaysia.
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, ia termasuk mengenal pasti tujuan pelancong asing datang ke negara ini bagi mengelak dari berdepan risiko serangan militan.
"Ia perlu dilihat langkah berhati-hati dan bukan menyekat kemasukan pelancong atau pelajar asing yang benar-benar mahu datang ke negara ini.
"Sudah sampai masanya. Sepatutnya dari dahulu lagi sudah ada. Kita perlu kaji kerana ini menjadi masalah. Orang datang sini sebagai pelajar, tetapi membuat aktiviti lain. Ini masalah.
"Sama juga dengan pelancong lain-lain negara kalau datang (ke sini) untuk ambil kesempatan dan membuat kesalahan undang-undang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Musa berkata demikian ketika mengulas cadangan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Alias Ahmad yang mahu kerajaan memperkenalkan visa warga asing untuk rakyat dari negara Timur Tengah bagi mengekang ancaman kumpulan militan Daish di Malaysia.
Jelas Alias, setakat ini, Malaysia hanya mengenakan penggunaan visa kepada 34 daripada 201 negara terutama di benua Afrika.
Dalam pada itu, tegas Musa, kerajaan tidak boleh sewenangnya membenarkan individu memasuki negara tanpa memeriksa latar belakang mereka.
Sebelum ini, Musa yang juga Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia yakin Polis Diraja Malaysia melalui risikan yang baik dapat membantu menangani ancaman ini.
Tegasnya, langkah untuk mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang diumumkan kerajaan adalah untuk memberi kesedaran mengenai ancaman keganasan merupakan satu tindakan yang baik.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, kerajaan akan mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang telah berjaya dideradikalisasi untuk membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai ancaman keganasan.
Katanya, selain memunculkan mereka di media massa, mereka juga akan dibawa ke institusi pengajian tinggi untuk tujuan tersebut.