Daim tiba di mahkamah untuk didakwa tidak isytihar harta
Astro Awani
Januari 29, 2024 09:10 MYT
Januari 29, 2024 09:10 MYT
KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi ini dan dijangka berdepan tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.
Kenderaan yang membawa bekas Menteri Kewangan itu tiba di perkarangan kompleks mahkamah sekitar pukul 8.40 pagi tadi dengan ditemani isterinya, Toh Puan Na'imah Khalid.
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin yang berusia 86 tahun itu tiba di mahkamah dengan berkerusi roda.
Tokoh korporat itu yang mengenakan kemeja biru muda serta sut hitam diiringi Na'imah serta beberapa individu dipercayai pembantu dan peguamnya.
Beliau turut melambai ketika kehadirannya dirakam oleh puluhan pengamal media yang berkumpul sejak awal pagi.
Kelmarin, Daim dalam kenyataannya berkata, SPRM sudah mengambil rakaman percakapannya dan memaklumkan bahawa beliau akan didakwa pada hari ini atas kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang juga kesalahan berkaitan dengan pendedahan aset.
Rabu lalu, SPRM mengesahkan sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim yang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan daripada tahun 1984 sehingga 1991, namun ia terpaksa ditangguh atas masalah kesihatan.
Sebelum ini, pada 23 Januari lalu, isteri Daim turut didakwa di mahkamah ini atas kesalahan sama.
Na'imah dituduh tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam lampiran A antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedez Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr Ismail dan Pulau Pinang.