Daim pertikai laporan kemiskinan PBB
Muhafandi Muhamad
Ogos 24, 2019 17:28 MYT
Ogos 24, 2019 17:28 MYT
Dakwaan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof. Philip Alston terhadap realiti kehidupan di negara ini adalah tidak tepat.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mempertikaikan kenyataan tersebut kerana proses pengumpulan data di anggap tidak kolektif dan menyeluruh hingga ke akar umbi.
“Kita sejak dari dahulu lagi, tujuan kita adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat, mengurangkan inflasi, dan ini adalah dasar kerajaan.
“Kita mahu pendapatan tinggi supaya rakyat menggunakan wang dengan baik kerana kalau dibandingkan dahulu sebelum merdeka sampai sekarang, rakyat lebih selesa berbanding dahulu.
“Dahulu, mana ada jalan macam sekarang, dahulu mana ada titi, dahulu kita naik basikal, sekarang penuh dengan kereta,” katanya pada sidang selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh Rakyat anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Pantai Geting, Tumpat pada Sabtu.
Jelasnya, pihak luar sering mendakwa mereka 'juara' kepada penderitaan rakyat namun hakikat sebenar, rata-rata mereka hanya membuat pemerhatian secara rambang tanpa turun padang bertemu sendiri rakyat.
"Mereka ini datang, dia duduk hotel besar-besar, dia ada jumpa tuan-tuan semua tak? Katanya juara derita rakyat tapi dia ada datang (turun padang) tak? Tak pun, itu pandangan dia. Tapi rakyat tahu (keadaan sebenar).
"Dia nak kritik tidak apa, tapi turunlah jumpa rakyat,” tegasnya.
Jelas beliau, pelbagai inisiatif sudah dilakukan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat di negara ini selain mengurangkan inflasi sejak Rancangan Malaysia Ke-5 (RMK-5).
Dakwa Alston angka rasmi masih bergantung pada langkah-langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap yang sama selama beberapa dekad walaupun kos kehidupan semakin tinggi.