Daim mohon penzahiran dokumen SPRM kes gagal isytihar 70 harta
Sinar Harian
Ogos 8, 2024 12:50 MYT
Ogos 8, 2024 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, untuk mendapatkan penzahiran dokumen daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung kes tidak mengisytiharkan 70 aset harta dihadapinya.
Semasa prosiding di hadapan Hakim, Azura Alwi, peguam, M Puravalen yang mewakili Daim, 86, berkata, permohonan pertama dibuat kepada pendakwaan selaku responden untuk mendapatkan sesalinan notis kes, menerusi surat bertarikh 31 Januari lalu.
Bagaimanapun, responden gagal atau enggan membekalkannya salinan dokumen itu sehingga ke hari ini.
“Saya tidak menerima sebarang maklum balas dan responden juga tidak mendedahkan aduan tersebut sebagaimana yang diwajibkan di bawah seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Hakikatnya, responden mempunyai kewajipan untuk membekalkan salinan berkenaan kerana ia membentuk asas kepada pengeluaran notis seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 yang telah membawa kepada pertuduhan ini.
“Demi keadilan, responden mesti mendedahkan aduan tersebut kerana ia berkemungkinan membantu kes saya dan/atau menjejaskan kes pendakwa raya,” katanya.
Susulan itu, veteran UMNO ini sekali lagi membuat permohonan sama pada 31 Julai lalu.
Mendengar perkara berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan, permohonan terbabit telah diterima pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, beliau memohon Daim yang juga anak kelahiran Alor Setar, Kedah hadir dalam prosiding permohonan ini pada prosiding akan datang.
“Saya bimbang ia akan mengundang persepsi apabila tertuduh dalam kes ini tidak hadir ke mahkamah pada prosiding pendengaran kes.
“Anggap sahaja ini adalah latihan untuknya tampil ke mahkamah sebelum perbicaraan dibuat,” katanya.
Puravalen membantah permohonan pendakwaan, dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan dengan pergerakan fizikal yang amat terhad.
“Mahkamah perlu memahami keadaannya yang sangat uzur,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk pendengaran permohonan mendapatkan penzahiran dokumen.
Hakim turut membenarkan pengecualian Daim dalam prosiding akan datang.
Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian