Dahulukan kepentingan negara berbanding politik kepartian

Ridauddin Daud
Julai 30, 2022 03:39 MYT
Annuar percaya Perdana Menteri, dalam apa juga tindakan, akan mengambil kira situasi negara dan kepentingan rakyat. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Dahulukan kepentingan rakyat dan negara terlebih dahulu berbanding politik kepartian, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendakwa Perdana Menteri cuba menepis persefahaman yang telah dicapai antara PN dan beliau.
Menurut Annuar, beliau percaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, dalam apa juga tindakan, beliau akan mengambil kira situasi negara dan kepentingan rakyat.
"Soal-soal politik kepartian itu tidak boleh kita dahulukan daripada kepentingan nasional dan negara.
"Jadi eloklah duduk bersama Perdana Menteri, dan beliau tidak ada masalah untuk duduk dan berbincang atas apa juga perkara terutamanya dengan rakan-rakan parti yang terlibat dalam pembentukan kerajaan.
"Kami semua berada dalam jemaah Menteri menjalankan tugas seperti biasa dengan penuh keharmonian. Saya percaya isu-isu yang dibangkitkan oleh Majlis Tertinggi PN... saya percaya Perdana Menteri sedia untuk mendengarnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di sini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.
Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau menganggap perkara dibangkitkan itu bukanlah satu perkara terlalu rumit.
"Saya difahamkan berdasarkan kepada kenyataan akhbar, PN akan bertemu dengan Perdana Menteri, itulah sebaik-baiknya," ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan PN menzahirkan rasa kecewa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan tidak bersungguh dalam memenuhi perjanjian dengan gabungan itu.
Sehubungan itu, Setiausahanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.
#Annuar Musa #Perikatan Nasional #kerajaan #Perdana Menteri #Ismail Sabri