Dahulu 'syurga' tapi kini...
Astro Awani
Disember 8, 2017 11:43 MYT
Disember 8, 2017 11:43 MYT
Dahulu, Sungai Sepang Besar di Bagan Lalang, Selangor merupakan ‘syurga’ bagi para pemancing.
Namun, sungai yang pernah kaya dengan pelbagai spesis ikan itu kini ketandusan haiwan marin gara-gara pencemaran yang berlaku di sekitar kawasan tersebut.
Pencemaran yang berlaku bukanlah berpunca daripada aktiviti pembalakan mahupun pembuangan sampah, tetapi disebabkan oleh pencemaran air akibat kapur daripada aktiviti penternakan udang di kolam sekitar sungai tersebut.
Akibatnya, banyak haiwan marin pupus lantas menjejaskan ekosistem Sungai Sepang Besar.
“Sekarang ini, hendak cari gelama yang besar-besar ni pun dah tidak ada. Ada tapi sudah tidak macam dulu. Dulu, ikan baik-baik ada dalam ni, sampai lokan pun boleh terbuka,” keluh Ayie, pengusaha rumah rakit, ketika ditemubual oleh krew Randuk.
Menurut Ayie, air Sungai Sepang Besar menjadi bersih dan jernih oleh sebab kapur yang mencemari sungai tersebut.
Bukan sahaja warna air sungai yang dahulunya kuning-hijau ‘disapu’ menjadi biru, spesis ikan yang suatu ketika dahulu mendiami sungai tersebut turut ‘disapu’ habis.
Hasil tinjauan krew Randuk juga mendapati beberapa syarikat rumah rakit terjejas akibat pencemaran tersebut sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.
Kata Ayie lagi, warga kampung tidak tahu di mana lagi mereka harus mengadu tentang isu pencemaran sungai tersebut.
Aduan pernah dibuat kepada beberapa agensi alam sekitar namun sehingga kini masih tiada tindakan yang diambil dengan alasan, punca pencemaran tersebut datang dari negeri sebelah memandangkan Sungai Sepang Besar bersempadan dengan Negeri Sembilan.
Ikuti program Randuk setiap Ahad 12.45pm di Astro AWANI.
#air
#air kapur
#ekosistem
#Negeri Sembilan
#pencemaran
#Randuk
#Selangor
#Sepang
#Sungai
#Sungai Sepang Besar