Dahulu dinding vandalisme, kini 'pameran' mural wajah wira negara

Bernama
Julai 5, 2020 05:00 MYT
Potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah antara pemimpin negara yang menjadi karya lukisan dinding. Foto: Facebook/ @budakpenangcrew
Dinding sebuah bangunan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini yang dahulunya hanya dipenuhi dengan contengan vandalisme, kini dimurnikan menjadi 'pameran' mural gergasi memaparkan wajah-wajah pemimpin negara.
Potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah antara pemimpin negara yang menjadi karya lukisan dinding atau mural 'Miey Ali' bagi menghiasi bangunan berkenaan.
Bermula dengan hanya niat untuk mencantikkan semula kawasan itu, 'Miey Ali' atau nama sebenarnya Muhammad Suhaimi Ali, 27, sama sekali tidak menyangka hasil seninya itu mendapat sambutan hangat dan tular di media sosial.
Anak kelahiran Kampung Telaga Daing, Kuala Nerus, Terengganu itu mengambil masa kira-kira dua minggu sahaja untuk menghasilkan lima potret mural tersebut dengan dibantu dua rakannya, Abdul Hadi Ramli, 27, dan Firdaus Nordin, 26.
Jelas anak bongsu daripada tujuh beradik itu, pada mulanya beliau hanya melukis mural wajah Al-Sultan Abdullah sebagai tanda menzahirkan terima kasih atas kebijaksanaan Seri Paduka dalam mendepani dan menyelesaikan krisis politik pada Februari lepas.
"Tapi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lepas, kita lihat ramai lagi pemimpin lain yang sentiasa memberi perkembangan terbaru dan mengatur strategi dalam memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikurangkan. Jadi wajah-wajah itu turut muncul (untuk dilukis sebagai mural).
"Ini antara cara saya dan rakan-rakan mengekspresikan rasa terima kasih kepada pemimpin negara dan barisan hadapan kerana semasa wabak COVID-19 mula-mula melanda negara, mereka inilah yang tidak menang tangan untuk memastikan wabak tersebut tidak terus menjangkiti rakyat," katanya.
Wajah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut diabadikan pada dinding bangunan di kawasan itu yang kini mula menerima kunjungan orang ramai untuk menyaksikannya sendiri setelah karya anak muda tersebut tular.
Menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu, beliau hanya menghabiskan sekitar RM500 untuk menyiapkan kesemua lukisan tersebut bagi membeli peralatan melukis dan cat.
Pelukis mural sepenuh masa itu berkata, beliau amat berbangga apabila orang ramai mula datang ke kawasan perumahan tersebut semata-mata untuk mengabadikan kenangan dengan bergambar bersama-sama potret mural berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu penghargaan terhadap hasil karyanya bersama rakan-rakan.
"Kawasan lukisan mural ini memang tidak ramai yang tahu, sebab ia sedikit tersorok tetapi ada yang WhatsApp saya semata-mata nak tahu lokasi kawasan ini. Paling terharu, ada yang datang dari Johor semata-mata nak bergambar dengan lukisan kami," katanya.
Sehingga kini, Muhammad Suhaimi telah menghasilkan lebih 200 mural di seluruh negara sejak mula berkecimpung dalam bidang seni lukis sejak empat tahun lalu.
Ditanya mengenai perancangan terdekatnya, pemuda berkulit hitam manis itu bercadang untuk mengabadikan beberapa lagi potret antaranya seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, pelakon dan pelawak tersohor Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan Allahyarham S. Shamsuddin, jika beliau mempunyai ruang dan masa.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Datuk Dr Noor Hisham Abdullah #dinding #shah alam #Taman Cahaya Alam #Tan Sri Muhyiddin Yassin #Yang di-Pertuan Agong
;