#DahSampai terbitan Astro AWANI menang Program Pelancongan Terbaik

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 26, 2024 23:17 MYT
Zaiful berkata, anugerah yang dimenangi itu mencerminkan komitmen Astro AWANI untuk turut sama mempromosikan pelancongan dalam negara merentas platform. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Astro AWANI merangkul Program Pelancongan Terbaik dalam Anugerah Industri Pelancongan 2024.
Menurut Pengarang Eksekutif Astro AWANI, Zaiful Ariffin, anugerah yang dimenangi itu mencerminkan komitmen Astro AWANI untuk turut sama mempromosikan pelancongan dalam negara merentas platform.
“Keunikan program #DahSampai ini adalah kami memulakan kempen menerusi platform digital pada tahun pertama. Kemudian ia diteruskan lagi menerusi platform digital dan saluran televisyen serta ‘on ground activation’ bagi tahun kedua dan ketiga.
“Kempen merentas platfrom ini penting bagi membolehkan para penonton disajikan dengan kandungan yang bersesuaian pada setiap platform.
“Pada masa sama, kami menyahut inisiatif untuk terus mempromosikan tempat-tempat pelancongan di negara ini terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti,” katanya selepas menerima anugerah tersebut pada Jumaat malam.
Menerusi program dan kempen #DahSampai, Astro AWANI selama tiga tahun berturut-turut menerbitkan program tersebut bagi mempromosikan tempat-tempat menarik serta keunikan pelancongan di Malaysia.
Anugerah Industri Pelancongan 2024 memberi penghormatan kepada sumbangan luar biasa kepada pemain industri dalam pelbagai kategori, antaranya Destinasi Terbaik, Peneraju Pelancongan Mampan, Inovasi dalam Perjalanan, Penyedia Hospitaliti Terbaik, Pelancongan Budaya dan Warisan, Kempen Pemasaran Pelancongan dan Kecemerlangan Pelancongan Pengembaraan.
Anugerah itu menyerlahkan daya tahan, kreativiti dan dedikasi mereka yang telah memberi impak ketara kepada industri.
Lebih 80 anugerah disampaikan kepada pemain industri malam ini atas kecemerlangan dan sokongan mereka dalam pembangunan industri pelancongan negara.
#pelancongan #daya tahan #Tahun Melawat Malaysia 2026 #platform digital
;