#DahSampai: Pemain industri pelancongan perlu kreatif, teroka pelbagai platform
Nursyazwani Saiful Sham
November 11, 2023 11:10 MYT
November 11, 2023 11:10 MYT
MELAKA: Pemain industri pelancongan domestik perlu kreatif dalam menyediakan pakej-pakej pelancongan yang pelbagai dan menepati citarasa serta bajet rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghapar, tawaran kreatif itu haruslah merangkumi penyediaan dari segi infrastruktur yang sentiasa dinaik taraf selari dengan pakej-pakej yang ditawarkan bagi menarik minat pelancong dalam dan luar negara.
“Apa yang penting adalah dari segi infrastruktur dari pelancongan juga. Kita tak nak kita buat promosi tapi tidak bersedia dari segi infranya.
“Begitu juga pemain-pemain industri lain. Selain pakej-pakej baharu yang menarik supaya kita boleh menarik ramai orang melancong di Malaysia, kita juga mahu produk lain seperti product owner untuk bersedia.
“Maknanya beri satu perkara yang baharu dan tawar aktiviti yang menarik di tempat-tempat mereka,” katanya dalam AWANI Pagi sempena #DahSampai Tourism Malaysia Roadtour anjuran Tourism Malaysia dan Astro AWANI serta disokong ERA fm.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, pihaknya bersedia untuk terus mempromosikan pelancongan domestik ke luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara.
“Memang menjadi tanggungjawab kita untuk mempromosikan Malaysia di luar negara, terutamanya di luar negara yang kita tahu mempunyai potensi yang baik dari segi pelancongan termasuklah menerusi #DahSampai Tourism Malaysia Roadtour ini juga antara salah satu platform bagi mereka memperkenalkan produk baharu dengan lebih kreatif.
“Melalui pejabat-pejabat di luar negara telah menyediakan kalendar all event untuk kita tahu dan maklumkan kepada orang ramai kalau mereka datang ke Malaysia contohnya tahun ini dan bulan ni, apa yang mereka boleh buat,” jelasnya.
Siri jelajah "Dah Sampai" di Melaka berlangsung hari ini dan akan diteruskan ke Negeri Sembilan.
Beberapa lokasi yang akan disinggahi semasa siri jelajah di Melaka termasuk Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Bandar Merah Melaka, Jonker Walk dan Pantai Klebang.
Sementara di Negeri Sembilan pula diadakan di Teluk Kemang, Port Dickson.