Dah mereka tak suka, saya letaklah jawatan - Abdul Khalid

Astro Awani
Ogos 26, 2014 22:21 MYT
"Dah mereka tak suka, saya letaklah jawatan". - Gambar fail
Sidang media perletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor turut diselit soalan petugas media yang membuatkan Abdul Khalid tertawa.
Ketika petugas media berkenaan melontar soalan, mengapa Abdul Khalid hendak meletakkan jawatan, dan ini katanya;
"Dah mereka tidak suka dengan saya, saya letak jawatanlah," katanya bersahaja dan diikuti gelak ketawa petugas media yang lain.
Jelasnya, perasaannya kini lega dan gembira selain berharap kemelut menteri besar yang melanda negeri itu selesai segera dengan perlantikan calon baru untuk jawatan berkenaan.
"Saya sentiasa berharap masalah di Selangor selesai dengan pentadbiran menteri besar yang baru.
"Saya gembira melepaskan tanggungjawab ini. Saya harap orang baru kelak dapat menumpukan usaha menguruskan pentadbiran negeri," katanya.
Abdul Khalid bagaimanapun sebelum itu memberitahu perletakan jawatannya itu dititah untuk ditangguh oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
sehingga proses pelantikan menteri besar yang baru selesai.
Dalam pada itu, Abdul Khalid mengakui nama calon Pakatan Rakyat (PR) dan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan ISmail tidak dibangkitkan dalam perbincangannya dengan Sultan Selangor.
Abdul Khalid turut mengakui akan meneruskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.
Ditanya tentang status terkini sebagai wakil rakyat, Khalid berkata akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Adun Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Khalid pertama kali dilantik menjadi menteri besar Selangor sejak tahun 2008, selepas menang bertanding di DUN Ijok semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
Abdul Khalid sebelum ini menyifatkan dia menghadap Sultan Selangor susulan keputusan pimpinan tertinggi PAS dalam satu mesyuarat khas pada 17 Ogos lalu yang membuat pendirian untuk tidak menyokong lagi kepimpinannya selain membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor.
#ADUN #jawatan #Keadilan #Khalid #PKR #PR #Sultan
;