'Dah lama orang tak nasihat' - Ebit Lew santuni GRO di Surabaya

Hasimi Muhamad
Mei 14, 2022 20:17 MYT
Pendakwah bebas, Ebit Lew berpeluang menyantuni wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Surabaya, Indonesia baru-baru ini. - Gambar Facebook Ebit Lew
KUALA LUMPUR : Misi menyebarkan dakwah tidak hanya terhad di Malaysia tetapi merentasi negara dan sempadan bangsa.
Itu yang dibuktikan oleh pendakwah bebas, Ebit Lew yang berpeluang menyantuni wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Surabaya, Indonesia.
Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew berkata ramai dalam kalangan mereka mengenali beliau.
Jelas Ebit Lew lagi, kumpulan wanita berkenaan memaklumkan sudah lama tiada orang yang berkongsi ilmu dan menasihati mereka.
“Mereka terharu ada orang sudi menasihati mereka. Ada yang dari dulu kerja di tempat begini dan menyara keluarga.
“Keluarga susah-susah, dan kadang kena melayan pelanggan mabuk. Ada di antara mereka mengalami tekanan mental dan rindukan bahagia,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Berkongsi lanjut, Ebit Lew menyifatkan semua mereka adalah insan yang mendengar dengan baik dan bertanya soalan mengenai kehidupan.
Ada dalam kalangan wanita berkenaan, ujarnya tidak dapat menahan air mata apabila menyentuh mengenai solat dan ibu bapa.
“Bila cerita solat dan hadiah buat mak ayah bukanlah duit semata-mata tetapi menjadi anak solehah dan baik. Mereka menangis.
“Ada yang minta doakan ingin kerja yang lebih baik dan ingin berkahwin dan menjadi isteri yang baik.
“Banyak nasihat dan doa mereka ingin belajar. Ada yang nak mengenali Islam.
“Katanya terharu, tak sangka ada orang agama datang sini cuma untuk beri nasihat.
“Ada seorang penjaga mereka turut menangis bersama,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ebit Lew berkata dari dulu setiap kali berdakwah di pusat hiburan, ramai yang akan datang menangis sebab mereka rindukan kebaikan.
Mengimbau pengalaman berdakwah di sebuah kelab di Bukit Bintang, Ebit Lew berkata beberapa orang turut ingin belajar Islam, dan ramai yang sudah berhijrah.
“Syukur pada Allah. Begitulah ujian mereka. Kita pun ada ujian dalam hidup.
“Bersyukur jika dapat taat. Berusaha sungguh-sungguh dan berdoa meninggalkan yang salah dan tak baik,” tambahnya.
#pendakwah #Ebit Lew #GRO #Surabaya #Indonesia #nasihat #dakwah
;