Dah boleh dandan rambut! Ini lima perkara menarik sidang media Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Jun 6, 2020 15:02 MYT
Jun 6, 2020 15:02 MYT
Nampaknya banyak berita gembira diterima rakyat Malaysia melalui sidang media harian yang disampaikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, pada Sabtu.
Paling dinanti-nantikan adalah pengumuman kebenaran pembukaan kedai gunting rambut selepas hampir tiga bulan aktiviti itu dilarang melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.
Apa lagi yang anda perlu tahu? Berikut Astro AWANI senaraikan lima perkara tumpuan sepanjang sidang media tersebut:
1. Kerajaan mengumumkan perkhidmatan gunting dan dandan rambut selain salun kecantikan dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
2. Kebenaran operasi kedai gunting dan dandan rambut ambil kira sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM13.5 bilion setahun, selain sektor tersebut melibatkan 74,500 tenaga kerja daripada 16,728 perniagaan yang berdaftar.
3. Selain itu, seramai 2,189 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berada di depoh-depoh tahanan imigresen di seluruh negara akan dihantar pulang dalam penghantaran fasa pertama ke republik itu bermula Sabtu.
4. Seramai 393 PATI dan 72 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong-lorong tikus. Turut ditahan 11 individu yang disyaki penyeludup selain 12 kapal dirampas.
5. Operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan dibuka semula bermula 15 Jun ini.