Daging import: Kerajaan tak senyap isu halal, Jakim hantar pasukan audit ke Australia - Idris
Amirrul Rabbani
September 1, 2022 17:54 MYT
September 1, 2022 17:54 MYT
IPOH: Kerajaan tidak pernah mengambil ringan isu pemprosesan makanan halal termasuk daging yang diimport dari Australia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata sebaliknya agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa memastikan status kesucian makanan halal yang dibawa masuk ke negara ini.
Sehubungan itu, katanya pasukan audit halal Jakim akan dihantar bagi melakukan pemeriksaan di semua loji sembelihan di Australia yang membekalkan daging ke Malaysia, pada bulan ini.
“Pada bulan ini pasukan audit daripada Jakim akan ke sana. Kita tidak senyap dalam isu halal, haram ini sebab ia melibatkan soal makanan yang akan menjadi darah daging kita. Jadi, tak munasabah kata Jakim tak bertindak.
“Sijil perakuan halal yang dikeluarkan Jakim adalah yang paling ketat di dunia. Walaupun ada desakan supaya nak longgarkan (syarat permohonan), kita kata tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan tunai RM600 seorang kepada 11 mangsa banjir di Dewan Air Kuning, Changkat Jering, dekat sini pada Khamis.
Idris diminta mengulas berhubung desakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya kerajaan memberikan penjelasan berkenaan pendedahan isu daging yang diimport dari pusat penyembelihan di Australia yang didakwa diproses dengan cara tidak halal.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mendakwa tiada tindakan daripada Jakim.
Dalam laporan sama, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizal Mohd Nor mendakwa Jakim tidak mengendahkan isu itu selain menteri bertanggungjawab didakwa cuba berdolak-dalih dalam isu tersebut.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata pihaknya akan membuat permohonan belanjawan tambahan pada Bajet 2023 yang dijadual akan dibentangkan 7 Oktober depan.
“Kita akan cuba minta (peruntukan) lebih sedikit pada tahun ini, dan kita harapkan ia dapat diluluskan. Walau bagaimanapun ia tetap tertakluk kepada kemampuan dan keputusan Kementerian Kewangan,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut.