Daging import ke Sabah selamat, dipantau rapi JHEAINS

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 31, 2020 13:38 MYT
Sembilan syarikat yang terlibat dalam pengimportan daging halal ke Sabah sentiasa dipantau rapi JHEAINS.
KOTA KINABALU: Sembilan syarikat yang terlibat dalam pengimportan daging halal ke Sabah sentiasa dipantau rapi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Arifin Mohd Arif berkata, pemantauan JHEAINS itu dilakukan setiap bulan bagi memastikan tiada isu berkaitan kartel daging berlaku di negeri tersebut.
"Setiap bulan JHEAINS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kesihatan dan jabatan yang terlibat sentiasa membuat pemantauan ketat terhadap sembilan syarikat yang mengimport daging halal dari luar negara.
"Selain itu, status halal daging yang diimport juga diiktiraf dan ia datang dari negara tertentu seperti New Zealand dan Australia yang ada logo halal, daging kerbau dari India manakala daging ayam dari Belanda serta Denmark," katanya selepas operasi bersepadu berkaitan isu kartel daging di Kota Kinabalu.
Tambah Arifin daging yang diimport ke Sabah dibawa masuk terus ke negeri itu tanpa melalui negeri-negeri lain.
"Diharap kita akan terus dapat kawal (perkara ini) kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sentiasa memastikan supaya Sabah kekal sebagai negeri yang selamat daripada penyakit kuku dan mulut," katanya.
Bagaimanapun, Arifin menegaskan masyarakat di negeri ini supaya sentiasa memberi kerjasama dan melaporkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak JHEAINS sekiranya ada perkara yang meragukan berkaitan bekalan daging di Sabah.
#daging halal #daging import #Jheains #Datuk Arifin Mohd Arif #Sabah #Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah #pemantauan JHEAINS
;