Daging import ditambah jika daging tempatan terjejas akibat FMD

Bernama
Jun 23, 2016 18:44 MYT
Ketika ini pengeluaran bekalan daging tempatan hanya 28 peratus daripada keperluan negara dan selebihnya diimport. - Gambar hiasan
Pengimportan daging mungkin dibuat jika bekalan daging tempatan menjelang sambutan Aidilfitri terjejas berikutan penyebaran penyakit kaki dan mulut (FMD) di beberapa kawasan di Pahang dan Johor.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kajian akan dilakukan oleh Jabatan Veterinar bagi mengetahui jumlah sebenar pengeluaran daging tempatan yang terjejas ekoran jangkitan itu.
"Ketika ini pengeluaran bekalan tempatan hanya 28 peratus daripada keperluan negara dan selebihnya diimport, jadi kajian perlu dilakukan bagi mengetahui 'demand dan supply' (permintaan dan bekalan) pasaran serta sejauh mana penularan penyakit itu menjejas pengeluaran daging tempatan.
"Sekiranya, ada kekurangan ketara mungkin langkah lain adalah membenarkan jumlah daging import ditambah bagi menampung kekurangan dan pengimport sentiasa bersedia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada golongan asnaf Parlimen Pasir Salak di sini hari ini.
FMD dikesan di Mersing, Johor dan Triang, Pahang sejak 12 Jun lepas, namun setakat ini keadaan adalah terkawal.
Mengenai penyampaian zakat itu, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata ia melibatkan seramai 450 penerima dari Kampung Gajah dengan setiap orang menerima RM200.
Katanya pemberian itu melibatkan sebahagian penerima di Parlimen Pasir Salak dan selebihnya nanti akan diberikan pada Sabtu ini.
"Jumlah keseluruhan penerima di Pasir Salak adalah 1,090 orang yang melibatkan wang berjumlah RM218,000. Selebihnya akan kita berikan pada Sabtu ini," katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak yang mampu mengeluarkan zakat supaya dapat melaksanakan rukun Islam keempat itu bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.
#bekalan daging #FMD #Jabatan Veterinar #penyakit kaki dan mulut #Tajuddin Abdul Rahman
;