Daging Brazil di Malaysia masih selamat - Jabatan Veterinar

Astro Awani
Mac 23, 2017 21:27 MYT
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Kamarudin Md Isa memaklumkan kualiti daging yang dibawa masuk dari Brazil adalah selamat. -Gambar hiasan
Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan daging lembu dan ayam yang diimport dari Brazil tiada kaitan dengan 21 kilang pemprosesan yang terbabit dalam skandal daging di negara itu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Kamarudin Md Isa memaklumkan kualiti daging yang dibawa masuk dari Brazil adalah selamat.
"Kami juga telah meminta laporan rasmi daripada Kedutaan Brazil termasuk laporan ujian kualiti yang dijalankan di semua kilang yang telah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerima kunjungan hormat Kedutaan Brazil menjelaskan isu integriti dalam kalangan pengeksport daging Brazil, semalam.
"Semua kilang yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah melalui pemeriksaan audit jabatan itu serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," ujarnya.
#daging lembu #Jabatan Perkhidmatan Veterinar #Kamarudin Md Isa #kilang pemprosesan
;