Daftar prabayar tanpa pengesahan, lima syarikat telekomunikasi dikompaun
Hafizi Rosli
Disember 9, 2020 11:13 MYT
Disember 9, 2020 11:13 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM750,000 kepada lima syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.
Tindakan diambil berdasarkan kepada audit yang dijalankan di Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi tempoh antara Ogos dan Oktober tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SKMM berkata, antara syarikat terlibat adalah Digi Telecommunication Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, Umobile Sdn Bhd, Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communication Sdn Bhd.
Susulan perkembangan terbaharu ini, SKMM menyatakan, jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang tahun ini adalah sebanyak 70, yang bernilai RM3.45 juta.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 16 peratus, berbanding 58 kompaun berjumlah RM2.9 juta bagi kesalahan yang sama tahun lalu.
Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Jelas SKMM, tindakan yang diambil ini sebagai melindungi kepentingan pengguna daripada kes penipuan, atau scam, secara dalam talian.
#SKMM
#kompaun
#prabayar
#Digi
#Maxis
#UMobile
#Tune Talk
#ytl
#MCMC
#pendaftaran
#kad sim
#pengesahan maklumat
#penipuan
#scam
#dalam talian
#syarikat telekomunikasi
#audit