Daftar Pemilih Tambahan Julai 2024 dibuka untuk semakan - SPR

Bernama
Ogos 21, 2024 04:00 MYT
Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN7/2024.
PUTRAJAYA: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2024 (DPT BLN7/2024) telah diperaku dan diwartakan pada Rabu dan semakan dibuka selama 30 hari hingga 19 Sept ini, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.
Beliau berkata DPT BLN7/2024 itu mengandungi 38,952 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Julai 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 8,165 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,730 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN7/2024," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN7/2024 iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan plikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
Ikmalrudin berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN7/2024, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Beliau berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN7/2024.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Pilihan Raya #Hari Pekerja #nama pemilih #dalam talian
;