Daftar Pemilih Tambahan Januari 2024 dibuka untuk semakan - SPR

Bernama
Februari 21, 2024 19:31 MYT
Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari 2024 (DPT BLN1/2024) yang diperaku semalam serta diwartakan hari ini, dibuka untuk semakan selama 30 hari hingga 21 Mac ini.
PUTRAJAYA: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari 2024 (DPT BLN1/2024) yang diperaku semalam serta diwartakan hari ini, dibuka untuk semakan selama 30 hari hingga 21 Mac ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata daftar pemilih tambahan itu mengandungi 36,978 nama warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jan 2024, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Beliau berkata senarai berkenaan juga mengandungi 6,692 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,137 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
"SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN1/2024 iaitu portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
"Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jan 2024 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, diminta untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2024.
"Sekiranya nama mereka tidak disenaraikan dalam daftar pemilih berkenaan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C menerusi aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,
"Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan," katanya.
Ikmalrudin berkata Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri terbabit untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat hari bekerja sepanjang tempoh semakan tersebut.
Orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau menghubungi SPR di talian 03-88927218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri bagi sebarang pertanyaan.
-- BERNAMA
#Daftar Pemilih Tambahan Januari #SPR #Ikmalrudin Ishak #semakan
;