Daftar Pemilih Tambahan Februari 2024 dibuka untuk semakan - SPR

Bernama
Mac 22, 2024 18:16 MYT
Daftar pemilih tambahan itu mengandungi 33,983 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 29 Feb lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2024 (DPT BLN2/2024) yang telah diperaku dan diwartakan hari ini, dibuka untuk semakan selama 30 hari hingga 20 April ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata daftar pemilih tambahan itu mengandungi 33,983 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 29 Feb lepas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
"DPT BLN2/2024 juga mengandungi 6,742 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,442 pemilih bertukar status atau kategori pengundi," katanya menerusi kenyataan hari ini.
SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my atau portal rasmi pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Semakan juga boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
Beliau meminta warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 29 Feb lepas dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk membuat semakan.
"Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2024, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan," katanya.
Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat mengemukakan bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D di pautan sama atau di pejabat pilihan raya negeri berkenaan.
Orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau menghubungi SPR di 03-8892 7218 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri bagi sebarang pertanyaan.
-- BERNAMA
#daftar pemilih #Suruhanjaya Pilihan Raya #pemilih tambahan #semakan
;